Guru Insan Terpilih

Guru merupakan kerjaya bagi insan yang terpilih.

Cabaran Guru Dalam Mendidik

Guru berdepan dengan pelbagai cabaran dalam mendidik murid.

Mendidik Tanpa Jemu

Guru sentiasa mendidik tanpa merasa jemu.

Pendidikan Bermula Dari Awal

Pendidikan bermula seawal mungkin.

Guru Sebagai Pemudah Cara

Guru juga bertindak sebagai pemudah cara.

Tuesday, 7 April 2015

Graduan berciri keusahawanan diutama

KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, PPPM (PT), dirangka selaras aspirasi Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan sistem pendidikan tinggi terbaik bagi membolehkan negara bersaing dalam ekonomi dunia.
Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya, perubahan besar turut membabitkan peranan kementerian yang antara lain bertujuan mewujudkan sistem pendidikan tinggi yang berupaya melahirkan graduan berciri keusahawanan yang mencipta pekerjaan, bukan sekadar makan gaji.

Kemahiran selaras keperluan industri
Pembangunan sistem baharu ini bukan hanya tertumpu kepada laluan akademik biasa, sebaliknya menekankan laluan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memperkasa kebolehpasaran graduan menerusi peningkatan kemahiran mengikut permintaan industri.
Tumpuan turut diberikan kepada keberhasilan berbanding input, selain penggunaan teknologi dan inovasi bagi memenuhi keperluan serta meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar.
Pembangunan sistem inovasi berteraskan beberapa bidang strategik akan menyokong penyelidikan universiti, model pembangunan dan pengkomersialan hasil kajian.
Kawal selia antara universiti awam dan swasta juga akan diperkukuhkan, selain peralihan daripada sistem tadbir urus berpusat masa kini kepada model yang lebih autonomi dalam rangka kerja perundangan yang ditetapkan.
Justeru, universiti awam dan swasta akan beroperasi secara bebas dalam lingkungan kerja pengawal seliaan yang diwujudkan kerajaan, seiring struktur tadbir urus yang mantap, hak membuat keputusan serta keberkesanan dalam pengurusan pihak berkepentingan.

Jimat sumber kerajaan
Aspek lain ialah memastikan kemapanan kewangan dengan cara mengurangkan kebergantungan pada sumber kerajaan dan pemegang taruh, selain penyaluran sumbangan oleh pihak berkepentingan.
Sementara itu, universiti awam dan swasta akan mempelbagaikan sumber pendapatan untuk meningkatkan kualiti program secara berterusan, lebih berhemat dan inovatif dalam penggunaan sumber.
Kementerian juga menyasarkan peningkatan pendidikan tinggi ke tahap antara tertinggi di ASEAN menjelang tahun 2025.
Bagaimanapun, bentuk sebenar peningkatan berdasarkan bilangan tempat dan profil program akan ditentukan secara kerjasama dengan industri bagi memastikan penawaran sepadan dengan permintaan.

SUMBER : BHONLINE

Globalisasi Dan Cabaran Pendidikan

Mengikut Prof Michael Gibbons (2003), Setiausaha Agong Persatuan Universisti Komonwel (ACU), globalisasi pendidikan ialah proses perubahan untuk amalan dan pelaksanaan pengajaran yang berkualiti. Fungsi utama globalisasi pendidikan adalah menghasilkan sumber-sumber yang diperlukan untuk pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat. 


Ia merupakan proses berterusan untuk meningkatkan tahap kemahiran dan pengalaman individu.

Dalam hal ini, pelbagai langkah telah dilakukan untuk menghadapi cabaran globalisasi pendidikan ini antaranya, menubuhkan Multimedia Super Corridor (MSC) dan mengembangkan sekolah-sekolah bestari. Selain itu, mereformasikan kurikulum sekolah dengan melaksanakan pengajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris atau dikenali sebagai PSMI dan penswastaan pendidikan tinggi dengan memberi peluang untuk penubuhan kolej dan universiti swasta dalam negeri. 
Untuk menghadapi cabaran pendidikan, guru merupakan aset utama yang berperanan dalam menyahut segala cabaran pendidikan akan datang. Jadi, ciri-ciri guru dalam cabaran globalisasi pendidikan perlu dititikberatkan oleh semua guru. Guru perlulah mempunyai iltizam yang tinggi iaitu melibatkan diri secara bersungguh-sungguh serta penuh tanggungjawab dalam pelaksanaan tugas melahirkan modal insan kelas pertama. Seterusnya, dalam era globalisasi ini seseorang guru itu perlu berorientasikan maklumat, dengan kata lain bersungguh-sungguh mengejar maklumat baru yang berkaitan pendidikan serta isu-isu semasa. Aspek ini perlu diambil perhatian kerana ia amat berguna kepada pelajar.
Seseorang guru perlu berpandangan jauh dan mempunyai visi terutamnya dalam perkembangan pendidikan demi mencapai matlamat kecemerlangan pendidikan negara dalam alaf baru. Selain itu, guru juga perlu berpandangan positif iaitu memperlihatkan reformasi dan inovasi pendidikan serta perubahan kurikulumnya dalam perspektif yang positif yang boleh mendatangkan manfaat kepada diri, pelajar, masyarakat dan negara contohya peka kepada perubahan dalam setiap aspek, sedar tentang keperluan negara dan bersikap positif terhadap pembelajaran. Seseorang guru juga perlu berpengetahuan, fleksibel dan mudah menyesuaikan diri dalam reformasi, inovasi dan perubahan pendidikan dengan menguasai kemahiran belajar. 
Salah satu nilai aspirasi dalam penerapan “Satu Malaysia” adalah budaya inovasi dan budaya ilmu. Oleh yang demikian, kesediaan rakyat Malaysia untuk mencuba perkara baru dan berinovasi dalam apa jua lapangan yang diceburi perlu dititikberatkan.
Rakyat Malaysia perlu dikenali sebagai individu-individu yang mampu menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing. Rakyat Melaysia perlu berani mencari penyelesaian baru dalam menangi masalah dan sentiasa bersedia untuk menjadi perintis. Seterusnya, negara Malaysia akan benar-benar maju dan berjaya apabila rakyatnya memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi.
Budaya ilmu yang diterapkan dalam nilai aspirasi cenderung untuk sentiasa memburu pengetahuan yang terkini dan kesediaan menimba ilmu sepanjang hayat. Justeru itu, globalisasi dan cabaran pendidikan amat bertepatan dengan konsep “Satu Malaysia” itu sendiri.
Jadi untuk merealisasikan konsep “Satu Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, rakyat Malaysia perlulah disediakan dengan kriteria globalisasi dan cabaran pendidikan kerana kemajuan dan pembangunan sesebuah negara bermula dari pendidikan.

Sunday, 22 February 2015

Stres guru membimbangkan -- Akibat banyak perubahan dan bebanan tugas yang keterlaluan - NUTP

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa tahap stres di kalangan guru-guru di negara ini semakin menjadi-jadi dan membimbangkan ekoran bebanan tugas yang meningkat. Presiden NUTP, Ismail Nihat berkata, guru-guru kini terpaksa berhadapan dengan perubahan demi perubahan dalam bidang pendidikan sehingga wujudnya beban yang keterlaluan.
``Apabila ada pegawai baru di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri atau di peringkat kementerian, banyaklah idea dan tugasan baru yang harus dipikul oleh guru.
``Bebanan ini terus berlaku dalam keadaan jumlah guru yang tidak seimbang dengan peningkatan jumlah murid, projek banyak tetapi guru sedikit,'' katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng di sini, hari ini.
Sidang akhbar itu bertujuan menjelaskan beberapa isu melibatkan golongan guru yang akan dibentangkan pada Persidangan Perwakilan NUTP ke-17 yang bermula esok hingga 22 Ogos ini.
Menurut Ismail, walaupun kedengaran pelik tetapi semua pihak harus menerima hakikat bahawa masalah yang dihadapi oleh golongan guru menjurus kepada tekanan mental dan emosi berbanding fizikal.
``Ini menjejaskan keupayaan dan kepercayaan mereka terhadap diri sendiri untuk mencapai matlamat melahirkan pelajar yang cemerlang dan berkualiti,'' katanya.
Selain itu, beliau menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan stres di kalangan guru iaitu:
* Harapan ibu bapa terlalu tinggi kepada guru kerana sering mahukan pencapaian terbaik pelajar.
* Masalah disiplin pelajar yang semakin sukar dikawal termasuk melibatkan keselamatan guru.
* Pelajar-pelajar semakin cerdik berbanding guru ekoran akses pendidikan yang semakin canggih dan meluas.
Sehubungan itu katanya, NUTP akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjalankan satu kajian khas mengenai tahap sebenar tekanan di kalangan guru.
``Kita sedang berunding dengan JPA tetapi kami sudah menyediakan set soalan khas untuk menjayakan kajian tersebut.
``Sebagai permulaan kita akan agih-agihkannya kepada 220 delegasi yang menghadiri persidangan itu nanti,'' ujarnya.
Tambah beliau, kajian itu penting untuk membantu kerajaan meneliti langkah-langkah penyelesaian yang sesuai.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tanda-Tanda Stress